Isnin, 7 Februari 2011

Pengalaman masuk Sekolah Rendah

Aku masuk sekolah pada tahun 1981 di SK Kg New Zealand. Aku berwatakan pendiam. Cikgu Darjahku pada ketika itu ialah Cikgu Zaleha. Jarak sekolah dari rumahku hanya lebih kurang 200 meter sahaja. Di sinilah bermula perjalanku yang masih banyak aku ingati. Zaman kanak-kanak dilalui dengan penuh ceria. Walaupun ketika itu, keluargaku begitu daif namun tidak mematahkan semangatku untuk terus berjuang.
     Di dalam kelas, aku sentiasa menjadi mangsa buli. Maklumlah, tubuhku agak kecil dan kurus. Air mata sentiasa menjadi teman kala kesedihan. Aku terus bersaing dan memastikan aku tidak ketinggalan. Pada ujian pertama, aku mendapat kedudukan tercorot dalam kelas. Aku nekad untuk berubah. Pada ujian hujung tahun aku mendapat nombor 28 daripada 32 orang pelajar. Ada sedikit peningkatan.
     Pada tahun ini juga ayahku jatuh sakit. Entahlah apa puncanya. Ayahku menghadapi teknan emosi dan dihantar ke Tampoi, Johor untuk rawatan. Bermula detik itulah, kehidupan keluarga terus menjadi cabaran yang besar. Aku diejek dan dihina oleh rakan dan orang kampung.
     Ayahku sebenarnya ketika itu sedang membuat kebun dan membuka kandang kambing. Entah mengapa, satu perubahan emosi berlaku hingga ayahku hilang kawalan. Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, aku dan keluarga ku terus hidup atas rahmat Tuhan. Kata orang, ayahku terkena buatan orang. Ada pula yng kata, dia terkena gangguan jin. Sampai sekarang aku tak tahu apa puncanya.
     Aku masih ingat di kelas aku, aku selalu didenda cikgu. Bukan kerana aku malas, tetapi kerana aku lambat 'menangkap' pengajaran cikgu. Aku bukanlah budak nakal tetapi sebenarnya aku budak yang 'kerdil'. Pada ketika itu, beg aku hanya beg plastik jenama Ajinamoto. Buku dan pensel selalu dicuri. Aku sentiasa jadi sasaran rakan yang nakal. Kerana itu juga, aku menjadi seorang yang punyai tekad yang tinggi untuk berjaya dan membuktikan kepada semua, aku juga mampu berjaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Catatan Popular